suria

Dua hari dilaporkan hilang, pemuda OKU jadi korban kelima banjir Kelantan

Mayat Muhamad Faizal Abd Rahman ditemukan lemas di Kampung Tok Sangkut, Pasir Mas pada pukul 9 pagi, Khamis. Foto: Sinar Harian

SEORANG pemuda berstatus orang kurang upaya (OKU) menjadi mangsa kelima bencana banjir di Kelantan.

Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, mayat Muhamad Faizal Abd Rahman, 20, ditemukan lemas di Kampung Tok Sangkut, Pasir Mas pada pukul 9 pagi, Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Banjir Terengganu, Kelantan: Abang Viva sekali lagi mahu selamat mangsa banjir

"Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung pada jarak 600 meter dari tempat dia dikhuatiri hilang," katanya sambil menambah, seramai 29 anggota Polis dan Bomba termasuk tiga pegawai telah terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Terdahulu, Muhamad Faizal yang dikategorikan OKU masalah pembelajaran dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus banjir pada Selasa.

Kehilangan mangsa disedari oleh ibunya Che Fatimah Che Kob, 62, pada pukul 9 pagi, hari berkenaan.

Menurut Mohd Nasaruddin, hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Pasir Mas (HPM) mendapati punca kematian mangsa disebabkan oleh lemas.

Sebelum ini, empat lelaki berusia antara 13 hingga 70 tahun telah menjadi korban sejak banjir melanda Kelantan pada 26 Febuari lalu. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain