suria

VTL darat dapat dilaksanakan sebelum hari raya - Ismail Sabri

Ismail Sabri, VTL, Thailand, Brunei, Singapura, perjalanan darat, pelancongan, hari raya

MALAYSIA akan dapat melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat sebelum Mei tahun ini.

Perkara itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas beberapa cadangan untuk pelaksanaan VTL Malaysia dengan negara-negara jiran termasuk Singapura, Thailand dan Brunei telah dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

ARTIKEL BERKAITAN: VTL: Jualan tiket bas, penerbangan Malaysia-Singapura dibuka semula mulai hari ini

Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan tersebut sedang diperincikan KKM.

"Pelaksanaan VTL udara agak mudah berbanding VTL darat di mana bagi pengembara yang tiba di lapangan terbang, saringan boleh dilakukan segera. Namun begitu, saringan di pintu masuk darat, kita perlu mengelak barisan panjang kenderaan.

"Kita telah memberikan beberapa cadangan kepada Kementerian Kesihatan agar mencari kaedah terbaik untuk mempermudahkan dan mempercepatkan pelaksanan VTL darat. Saya menegaskan perkara ini dapat diselesaikan sebelum Hari Raya (tahun ini),” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Bangkok, Thailand pada Sabtu.

Beliau berkata, VTL darat, khususnya Thailand dan Malaysia penting kerana ia bukan sahaja melibatkan pelancongan namun turut melihatkan perdagangan dua hala, khususnya perdagangan sempadan yang menyumbang 50 peratus dari jumlah dagangan Malaysia-Thailand berjumlah AS$10.5 bilion (RM44.10 bilion).

Selain itu, beliau berkata, VTL darat Malaysia dan Singapura serta Malaysia dan Brunei penting untuk pergerakan rakyat negara-negara tersebut.

"Hampir 200,000 pekerja Malaysia yang ulang-alik Malaysia dan Singapura. Selain itu, di sempadan Malaysia dan Brunei, mereka di Limbang dan Lawas perlu melalui Brunei. Sehingga hari ini, mereka belum boleh merentas sempadan,” katanya.

Pada Jumaat, Ismail Sabri dan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha mengadakan pertemuan dan perbincangan sempena lawatan rasmi julung kali beliau ke Thailand. - Sinar harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain