suria

Kebetulan sama dengan tarikh kahwin, calon PH pakai busana pengantin ke pusat penamaan calon

Mohamad Fakrulradzi Mahmud hadir di Pusat Penamaan Calon dengan berbusana pengantin.

KEHANGATAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor makin terasa apabila proses penamaan calon dimulakan pada Sabtu pagi.

Dalam kemeriahan suasana itu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Mohamad Fakrulradzi Mahmud tampil dengan kelainan apabila hadir di Pusat Penamaan Calon (PPC), di Dewan Serbaguna Endau dengan berbusana pengantin.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Johor 12 Mac, penamaan calon 26 Februari

Difahamkan, tarikh penamaan calon ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada PRN Johor kali ini kebetulan berlaku pada hari majlis perkahwinannya yang bakal diadakan di kawasan sekitar di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga merupakan calon termuda daripada Parti Amanah Negara (Amanah), iaitu parti komponen PH tiba di PPC pada jam 8.38 pagi dengan turut diiringi oleh bapanya, Mahmud Mat Isa, 85.

Beliau juga dilihat diiringi oleh dua individu yang dipercayai akan menjadi pencadang dan penyokong bagi proses penamaan calon.

Dalam pada itu, terawal tiba di PPC ialah Mohd Youzaimi Md Yusof (Barisan Nasional) pada jam 8.05 diikuti Mohd Noorhisyam Ibrahim (Pejuang), penyandangnya iaitu Alwiyah Talib, mewakili Perikatan Nasional (PN) dan seorang calon Bebas.

SPR pada Khamis memaklumkan bahawa tiada sebarang aktiviti berkumpulan dan berarak dibenarkan di mana-mana Pusat Penamaan Calon (PPC) ketika proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke PPC bagi memastikan semua calon dan parti politik mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Alwiyah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,080 sebelum bertindak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dua hari selepas pilihan raya itu diadakan. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain