suria

Skandal 1MDB: Rohana menghadap SPRM, 9 jam rekod keterangan

Rohana memberi keterangan kepada SPRM

DATUK Rohana Rozhan yang kini menjadi tumpuan selepas terdapat keterangan mahkamah membabitkannya memaklumkan, dia sudah bertemu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis.

Difahamkan, rakaman percakapannya dengan agensi terbabit berlangsung kira-kira sembilan jam.

Bekas ketua pegawai eksekutif kumpulan Astro Malaysia Holdings Bhd itu mengeluarkan kenyataan ringkas melalui firma guaman Tetuan Valen, Oh & Partners Shah Alam Selangor pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan diminta ambil tindakan undang-undang, sita rumah RM41.8 juta untuk bekas kekasih Leissner

“Saya merujuk kepada dakwaan yang muncul di media mengenai saya.

"Saya telah hadir ke pejabat SPRM dan memberi kerjasama penuh dalam siasatan," katanya.

Kenyataan media itu ditandatangani oleh Rohana dan peguamnya M. Puravalen.

Terdahulu, beliau dikatakan menerima rumah yang dibeli menggunakan wang daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut laporan Utusan Malaysia, SPRM telah mengambil keterangan daripada Rohana di ibu pejabatnya di Putrajaya pada 9 pagi Khamis (24 Februari).

Agensi antirasuah itu dikatakan telah membuka siasatan berikutan keterangan Tim Leissner di mahkamah persekutuan Amerika Syarikat dalam perbicaraan ke atas warga Malaysia Roger Ng, yang dituduh bersubahat untuk mencuci wang dan melanggar undang-undang anti-rasuah melibatkan dana 1MDB.

Memetik sumber, akhbar harian Melayu itu turut melaporkan bahawa siasatan SPRM dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada hari Selasa (22 Februari), Leissner memberi keterangan bahawa dia telah menghadiahkan sebuah rumah AS$10 juta (RM41.85 juta) di London kepada seorang CEO media, yang menjalin hubungan sulit dengannya selama sedekad.

Dia mendakwa bekas kekasihnya telah memeras ugutnya untuk membelikan rumah di London dan mengancam untuk mendedahkan penglibatannya dalam 1MDB.

Hubungan itu berlangsung dari 2003 hingga 2013, katanya kepada juri. - The star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain