suria

Bahasa Melayu digunakan dalam urusan rasmi, Ismail Sabri mahu martabat Bahasa Kebangsaan

Ismail Sabri menggunakan bahasa Melayu ketika lawatan rasmi bertemu Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha.

MALAYSIA akan menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau telah menggunakan Bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama semasa melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja sebelum ini dan yang terbaharu, Thailand.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dulu saya pun mengaku bodoh cakap bahasa Melayu” - Sharifah Amani akui fobia selepas dikecam tak pandai bahasa kebangsaan

"Sebelum ini, saya telah menyatakan bahawa dalam setiap urusan rasmi kerajaan, kita perlu menggunakan Bahasa Melayu. Rundingan saya di luar negara juga merupakan urusan rasmi kerajaan. Oleh sebab itu, saya menggunakan Bahasa Melayu.

"Sudah sampai masanya kita perlu bangga dengan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan... kita bertanggungjawab memperkasa Bahasa Melayu.

"Jadi, kita tidak ada sebab untuk rasa janggal dan berbahasa Melayu ketika di luar negara kerana orang lain boleh bangga dengan bahasa masing-masing,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia pada Sabtu yang merupakan hari terakhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Thailand.

Ketika mengadakan pertemuan dan mesyuarat terhad serta sidang media bersama Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha pada Jumaat, Ismail Sabri telah menggunakan Bahasa Melayu.

Beliau berkata penduduk di ASEAN paling banyak menggunakan Bahasa Melayu dan tidak menolak kemungkinan suatu hari nanti, ia boleh dijadikan sebagai Bahasa ASEAN.

"Perkara ini mungkin boleh dibincang dengan pemimpin ASEAN pada masa depan,” katanya. - Sinar harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain