suria

VTL: Jualan tiket bas, penerbangan Malaysia-Singapura dibuka semula mulai hari ini

Bas membawa penumpang VTL antara Malaysia-Singapura di Tambak Johor. foto THOMAS YONG/The Star

BERITA baik apabila penjualan tiket bas dan penerbangan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura, dibuka semula berkuat kuasa serta-merta, pada Jumaat.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam satu kenyataan.

Beliau bagaimanapun memaklumkan bahawa buat masa ini kuota tiket yang dijual bermula 21 Januari akan dikurangkan kepada 50 peratus daripada kapasiti bas dan penerbangan.

"Bagaimanapun bagi penumpang telah pun membeli tiket bagi tarikh perjalanan selepas 20 Januari sebelum pengumuman penggantungan jualan tiket dibuat, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan menggunakan inisiatif ini walaupun akan melebihi kuota yang ditetapkan garis masa.

"Garis masa berhubung peningkatan kuota jualan tiket akan bergantung kepada penilaian risiko dilakukan dari semasa ke semasa dan secara berterusan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan situasi Covid-19 di kedua-dua negara," katanya.

Khairy berkata, selaras dengan pengumuman itu, pengembara diingatkan mengenai keperluan melaksanakan ujian pantas antigen kendiri (RTK-Ag) pada hari kedua dan keempat serta keenam selepas ketibaan.

"Ujian RTK-Ag profesional turut perlu dilakukan pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan," katanya.

Khairy berkata, semua pengembara disaran agar bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Dilaporkan sebelum ini bahawa penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua inisiatif VTL antara Malaysia-Singapura (darat dan udara), digantung sementara berkuat kuasa 23 Disember 2021 lalu hingga 20 Januari 2022.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain