suria

Harimau berkeliaran di laluan utama, penduduk kampung risau nak hantar anak pergi sekolah

Harimau berkenaan dilihat berjalan melalui jalan utama yang menjadi kegunaan masyarakat kampung.

KEMUNCULAN seekor harimau belang di kawasan Pos Ber, Gua Musang, Kelantan pada Khamis ternyata menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk setempat.

Sebelum kejadian di Pos Ber, harimau berkenaan pernah dilihat berkeliaran di kawasan Pos Bihai pada minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja zoo maut diserang harimau selepas pagar elektrik dimatikan

Seorang penduduk kawasan itu, Nasir Nash turut berkongsi rakaman memaparkan haiwan berkenaan yang sedang berkeliaran menerusi Facebook miliknya.

Melalui video yang dikongsinya, harimau berkenaan dilihat berjalan melalui jalan utama yang dipercayai menjadi kegunaan masyarakat kampung berkenaan.

Nasir turut berkongsi, mereka semua berada dalam ketakutan dan berharap orang ramai dapat mendoakan keselamatan penduduk kampung berkenaan.

"Lebih membimbangkan adalah waktu persekolahan ibu bapa akan menghantar anak-anak ke sekolah setiap hari sekitar jam 6.30 pagi mengikuti jalan utama ini.

"Antara penduduk yang terlibat ialah Kampung Plug, Pos Tuel, Kampung Kerbok dan Pos Ber,"katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi berkata, pihaknya maklum mengenai penemuan tersebut.

Menurutnya, lokasi harimau berkenaan muncul adalah jauh daripada kawasan penemuan sebelum ini iaitu di Pos Bihai.

Bagaimanapun, katanya, pemantauan berterusan tetap diadakan dan radius kawalan juga diperluaskan bagi memastikan keadaan keselamatan orang kampung terjamin. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain