suria

Bapa saudara durjana mengaku salah rogol anak buah bawah umur

Tertuduh merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun pada hujung September 2021.

BAPA saudara durjana! Begitulah gambaran terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah merogol anak saudaranya hujung September lalu.

Pemandu jentera berat itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, pada Selasa selepas mengaku salah.

Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman itu selepas lelaki berusia 49 tahun itu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kuala Nerus, kira-kira jam 4 pagi, pada hujung September 2021.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 377 B Kanun Keseksaan iaitu meliwat mangsa yang sama di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan itu tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Mahkamah menetapkan 29 November depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguambela. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain