suria

Speaker sahkan DUN Melaka bubar

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri,Datuk Seri Ab Rauf Yusoh maklumkan bahawa Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Dr Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju untuk membubarkan Dun Melaka.

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Melaka telah dibubarkan.

Perkara tersebut dimaklumkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam satu sidang media yang diadakan pada Selasa, Ab Rauf berkata, Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Dr Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka.

ARTIKEL BERKENAAN: 8,817 kes... Angka harian Covid-19 catat sedikit peningkatan

Ini bermakna pilihan raya tergempar (snap poll) perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.Ab Rauf berkata, kerajaan negeri semasa akan menjalankan tugas sebagai kerajaan caretaker sehingga pilihan raya diadakan.

Ab Rauf berkata sepucuk surat telah dihantar kepada Mohd Ali pada Isnin untuk memaklumkan mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menyatakan bahawa mereka telah hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, dan bagi memohon persetujuannya untuk membubarkan DUN.

"Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam telah memberi persetujuan untuk membubarkan Majlis Perundangan Melaka ke-14 pada hari Isnin, 4 Oktober 2021," kata Ab Rauf.

Tambahnya proklamasi pembubaran dewan telah diwartakan hari ini (Selasa).

Katanya Suruhanjaya Pilihan Raya boleh mencadangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) terbaik kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan untuk mengekang penyebaran Covid-19.

Kerajaan negeri Melaka yang diketuai Ketua Menteri Sulaiman Md Ali semalam tumbang apabila empat orang ADUN menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron daripada Umno bersama tiga lagi ADUN mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri dalam satu sidang media yang diadakan semalam.

Tiga lagi ADUN yang hadir pada sidang media tersebut adalah ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee, ADUN Telok Mas, Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Nor Azman Hassan.

Sebelum kejatuhan kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional ini, Barisan mempunyai 17 kerusi daripada jumlah keseluruhan iaitu 20 kerusi.

Empat belas daripadanya milik Umno, Bersatu (dua) dan bebas (satu) manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu DAP (tujuh), PKR (dua) dan Amanah dua kerusi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain