suria

'Rider' tak perlu risau disaman, kementerian wujud 'Green Zone'

PENGHANTAR barangan berdepan risiko tindakan saman ketika meletakkan motosikal mereka di bahu jalan. — Bruce Lee/The Star

PENGHANTAR makanan atau barangan di Kuala Lumpur kini tidak perlu runsing tentang soal saman ketika meletakkan kenderaan di bahu jalan selepas Kementerian Wilayah Persekutuan akan mewujudkan kawasan khas 'Green Zone' untuk golongan berkenaan.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, kawasan khas tersebut akan dikhususkan sebagai tempat letak motosikal di 10 lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Jelas beliau, inisiatif terbabit akan memudahkan dan mempercepatkan urusan penghantar makanan atau barangan.

"Kita sudah ada projek perintis kawasan Green Zone iaitu di menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kini boleh digunakan oleh golongan tersebut.

"Selain itu, saya juga sudah berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah untuk melaksanakan projek ini secara segera di 10 kawasan lain yang dikenal pasti antaranya berhadapan Pavillion, Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Jalan Ampang dan Sunway Putra," katanya.

Tambah Jalaluddin, projek itu akan diperluaskan ke Putrajaya dan Labuan serta boleh dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain untuk turut sama melaksanakan langkah terbabit.

Dalam perkembangan berlainan, beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu turut menyokong usaha kerajaan untuk melaksanakan Undi 18 pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

"Saya tidak fikir pelaksanaan Undi 18 adalah masalah besar sebaliknya memberi peluang kepada anak muda berusia 18 tahun memilih pemimpin mereka sendiri dengan membuat keputusan terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Artikel Berikut

Artikel Lain