suria

Naik sehingga RM1,000! PM umum bantuan mangsa bencana

KEPUTUSAN menaikkan nilai bantuan mangsa bencana dimuktamadkan 13 September lepas, kata Ismail Sabri.

BANTUAN Wang Ihsan (BWI) untuk mangsa yang terjejas ketika Monsun Timur Laut (MTL) atau lain-lain bencana yang diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dimuktamadkan pada mesyuarat JPBP yang dipengerusikannya, 13 September lepas.

Ismail Sabri menjelaskan kenaikan itu merupakan pendekatan baharu kerajaan untuk menambah baik pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi MTL yang dijangka berlaku pada awal November ini hingga penghujung Mac 2022.

Negeri yang dijangka terbabit dengan MTL adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

"Pemberian bantuan ini bukanlah satu bentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda yang dialami mangsa, tetapi untuk mengurangkan beban yang ditanggung.

"Inisiatif BWI ini dijangka meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah yang melibatkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara," katanya.

Beliau berkata, atas dasar prihatin dan tanggungjawab kepada kerajaan negeri yang menghadapi kesukaran menguruskan bencana MTL sepanjang tahun, peruntukan Perbelanjaan Operasi Dalam MTL 2021/2022 juga akan disalur menggunakan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara berjumlah RM9.5 juta bagi membantu kelancaran proses dan memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata pendekatan baharu yang turut diputuskan dalam mesyuarat itu ialah pembangunan Sistem e-Sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform penyelarasan bantuan antara penderma dan NGO kepada mangsa bencana.

"Bantuan perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat atau negeri atau daerah supaya penyelarasan bantuan dapat dilakukan lebih lancar dan sistematik.

"Badan sukarela yang ingin melakukan pergerakan menghantar bantuan juga perlu mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat atau negeri atau daerah terlebih dahulu memandangkan jawatankuasa peringkat tempatan lebih arif dengan kehendak dan keperluan mangsa di kawasan terjejas," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain