suria

Vaksinasi 'walk-in' di lima PPV bermula Khamis

ORANG ramai boleh mengambil vaksin secara jumpa terus di lima PPV yang ditetapkan bermula Khamis. — ZHAFARAN NASIB/The Star

PROSES vaksinasi secara jumpa terus atau 'walk-in' untuk warga Malaysia di lima pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang bermula Khamis hingga 30 September dalam usaha untuk mengoptimumkan sumber.

Menurut Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), pendekatan 'quick-win' atau cepat berhasil bagi mengoptimumkan sumber dengan membenarkan vaksinasi di kelima-lima PPV itu berikutan jumlah kehadiran yang rendah bagi mendapatkan suntikan vaksin secara jumpa terus di PPV sekitar Lembah Klang.

Lima PPV berkenaan adalah Bangi Avenue Convention Centre (BACC) di Bangi, Universiti Multimedia (MMU) di Cyberjaya, Axiata Arena di Bukit Jalil, Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL British BMI) di Gombak dan Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam.

"Pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di sekitar Lembah Klang juga boleh mendapatkan suntikan vaksin di kelima-lima PPV,” ujar CITF.

CITF juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Kesihatan berhubung penglibatan ProtectHealth Corp Sdn Bhd (ProtectHealth) berkenaan inisiatif jumpa terus bagi populasi dewasa warga

Malaysia di klinik pengamal perubatan swasta am di Lembah Klang.

ProtectHealth dijangka menawarkan perkhidmatan klinik perubatan swasta yang terpilih untuk vaksinasi jumpa terus bagi warganegara mulai 1 Oktober ini.

Selain itu, CITF memaklumkan sehingga 15 September, terdapat 13 PPV yang masih beroperasi di Lembah Klang manakala 38 PPV bukan kesihatan telah ditutup setakat 14 September.

"Penutupan PPV ini dibuat setelah CITF meneliti data kadar penduduk lembah klang yang masih belum divaksinasi dan kadar kehadiran yang rendah di PPV,” katanya.

CITF juga menyatakan individu yang menerima dos pertama di PPV yang sudah ditutup di Hulu Selangor dan Kuala Selangor boleh mendapatkan dos kedua secara jumpa terus di klinik SP Care Antara Gapi; Poliklinik Medi Ihsan (No 9-G, Jalan Gaya Merak 1, Taman Gaya Merak, 45700 Bukit Rotan) dan Poliklinik Medi Ihsan (No 7-1, Jalan Makmur 1, Taman Makmur, 45500 Tanjung Karang).

Menurut CITF, vaksinasi secara jumpa terus di negeri lain diteruskan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti pengumuman yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan negeri masing-masing untuk maklumat terkini berhubung inisiatif vaksinasi jumpa terus di negeri masing-masing,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian PICK di 1800-888-828.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain