suria

Pelancong perlu buat ujian saringan 48 jam sebelum tarikh berlepas ke Langkawi - KJ

Pelancong yang akan ke Langkawi perlu menjalani saringan dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

PELANCONG yang akan ke Langkawi bermula Khamis (16 September) perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas ke pulau peranginan yang terletak di negeri Kedah itu.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva ataupun melakukan ujian pengesanan Covid-19 di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta.

ARTIKEL BERKAITAN: Jom melancong! Semua pelancong domestik kecuali dari kawasan PKPD boleh bercuti ke Langkawi

"Ujian pengesanan ini akan dilakukan ke atas individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak berusia tujuh sehingga 17 tahun.

"Bagi kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah, hanya saringan gejala akan dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva.

"Bagi mereka yang didapati negatif, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, manakala individu yang didapati positif Covid-19, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan dan akan diuruskan sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) pengurusan kes positif dan kontak rapat yang sedia ada," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Berikut merupakan ketetapan yang diumumkan kerajaan berhubung gelembung pelancongan domestik pertama ke Langkawi:

1. Menjalani ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR atau RTK-Antigent) di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas. Keputusan ujian hendaklah dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk (lapangan terbang atau terminal feri) sebelum berlepas; ATAU

2. Pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 di tempat saringan yang disediakan; ATAU

3. Pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri dan menjalani ujian pengesanan di situ.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Wanita kongsi detik lucu masalah bau di rumah