suria

Vaksin pelajar dibuat berperingkat, seiring tarikh pembukaan sekolah - KJ

Kata Menteri Kesihatan, kebanyakan pelajar akan diberi suntikan di sekolah mereka.

PEMBERIAN vaksin kepada golongan remaja akan dibuat secara berperingkat seiring tarikh pembukaan sekolah yang akan dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kelak.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Jom melancong! Semua pelancong domestik kecuali dari kawasan PKPD boleh bercuti ke Langkawi

"Kita telah mengadakan mesyuarat penyelarasan tengah hari tadi. KKM dan KPM telah berbincang mengenai rancangan vaksinasi untuk golongan remaja.

"Saya akan serah kepada Menteri Pendidikan untuk buat pengumuman berkenaan tarikh buka sekolah.

"Tapi apa kita setuju, serentak dengan proses pembukaan sekolah itu, kita akan terus giat untuk pemberian vaksin kepada golongan remaja dan ia akan berlangsung serentak," ujar beliau.

Jelas Khairy, beliau beranggapan tidak semua pelajar sempat divaksin sebelum sekolah dibuka semula, namun yakin usaha itu akan terus giat dijalankan secara berperingkat.

Tambah beliau lagi, Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali akan diberi tanggungjawab sebagai penyelaras kepada program vaksinasi untuk remaja.

"Saya yakin bahawa kita akan bekerja dengan KPM. Ada beberapa kaedah model pelaksanaan vaksinasi, tapi yang paling senang tentunya kita ke sekolah untuk beri suntikan vaksin.

"Kebanyakan pelajar akan diberi suntikan di sekolah mereka," ujar Khariy.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain