suria

Peralihan ke fasa endemik tak bermakna Malaysia mengaku kalah lawan Covid-19

Peralihan fasa dijangka berlaku pada hujung Oktober ini, namun ia bergantung kepada situasi semasa dalam tempoh dua bulan mendatang. (Gambar Hiasan)

BUKAN mengaku kalah!

Demikian kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung peralihan fasa endemik Covid-19 yang dijangka bermula Oktober ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin pelajar dibuat berperingkat, seiring tarikh pembukaan sekolah - KJ

Menurut beliau, ia sebenarnya satu realiti yang wajar diterima semua pihak dan tidak bererti Malaysia sudah mengaku kalah dalam melawan pandemik Covid-19.

Tambah Khairy, hakikat bahawa mungkin 'titik akhir' adalah mengklasifikasikan pandemik Covid-19 kepada endemik bukan sahaja berlaku di negara ini, malah turut dinyatakan oleh beberapa negara lain.

"Saya tidak rasa ada negara yang akan mengatakan bahawa penerimaan Covid-19 sebagai endemik ini bermakna telah mengaku kalah. Ini bukan mengaku kalah tetapi untuk menyesuaikan kepada realiti sebenar untuk hidup bersama virus.

"Walaupun kita pada asalnya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi dengan virus yang merebak dengan begitu cepat, ditambah pula dengan kemunculan varian baharu telah mengajar kita untuk terima hakikat ini," katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan Malaysia mengaku kalah apabila pandemik Covid-19 akan diklasifikasikan sebagai endemik yang dijangka pada Oktober ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, meskipun beliau mengumumkan peralihan fasa dijangka berlaku pada hujung Oktober ini, namun ia bergantung kepada situasi semasa dalam tempoh dua bulan mendatang.

Menurutnya, pelbagai perkara akan diambil kira sebelum peralihan fasa diputuskan termasuk bergantung kepada kemunculan varian baharu.

"Andaian saya (sebelum ini bahawa kita akan beralih ke fasa endemik dibuat bersandarkan) dengan adanya vaksinasi yang tinggi pada akhir Oktober.

"Kita jangan ingat apabila memulakan peralihan fasa, semua prosedur operasi standard (SOP) tidak perlu dipatuhi lagi. Itu tidak betul kerana virus masih ada dan kita kena belajar hidup dengan virus.

"Kita tetap perlu amalkan SOP sedia ada khususnya memakai pelitup muka, penjarakan sosial dan elak mengunjungi tempat sesak," katanya. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain