suria

Mengamuk atas kereta peronda polis sambil hayun sabit, warga emas direman 4 hari

Suspek berusia 61 tahun yang mengamuk di hadapan Balai Polis Gopeng pada Rabu kini direman.

KECOH di media sosial selepas video seorang lelaki warga emas mengamuk sambil melibas sabit di atas bumbung kereta peronda polis pada Rabu, menjadi tular.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim pada Khamis mengesahkan suspek berusia 61 tahun itu direman selama empat hari.

Reman yang bermula Khamis sehingga Ahad ini adalah bagi membantu siasatan, ujarnya.

Dalam kejadian yang berlaku pada Rabu di hadapan Balai Polis Gopeng, suspek berkenaan mengamuk dan bertindak memanjat kereta peronda polis sambil melibas sabit.

Suspek bagaimanapun berjaya ditahan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng yang bertindak menyembur air ke arahnya sebelum jatuh di atas jalan.

Hasil pemeriksaan, suspek didapati positif dadah jenis syabu dan heroin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, semakan lanjut mendapati suspek turut mempunyai 16 rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain