suria

LHDN agih 1,700 bakul makanan, bantu golongan terjejas Covid-19 di tiga negeri

Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Dato' Sri Dr Sabin Samitah (kiri) menyerahkan sumbangan bakul makanan dari LHDNM kepada Pengarah JAWI, Datuk Haji Mohd Ajib Ismail untuk agihan kepada penduduk di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengagihkan sebanyak 1,700 bakul makanan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak pada Isnin menerusi Program CSR Hasil Prihatin.

Daripada jumlah itu, sebanyak 300 bakul makanan diserahkan kepada wakil-wakil penduduk untuk diagihkan kepada penerima di Kuala Lumpur, di mana majlis penyerahan telah berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan dihadiri oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail, dan Pengarah LHDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohamad Zain Mohamad Said.

Sementara itu, sebanyak 1,000 bakul makanan pula diagihkan kepada penduduk di Pulau Pinang yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di daerah Barat Daya, Timur Laut, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah.

Majlis penyerahan disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN, Datuk Dr Sotimin Muhalip dan Pengarah LHDN Pulau Pinang, Datuk Abdul Khalid Yunus, bersama warga LHDN Pulau Pinang di Masjid Al-Bukhary, Lebuh Sungai Pinang 1.

lhdn 2

Dato' Sri Dr Sabin Samitah menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang penerima bakul makanan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Manakala di Sarawak pula, pelaksanaan Program CSR Hasil Prihatin yang mendapat kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak telah berlangsung di Ruang Legar Utama, Masjid Bandaraya Kuching apabila 400 bakul makanan diagihkan kepada wakil-wakil penerima sumbangan di sekitar kawasan tersebut.

"Turut hadir dalam program berkenaan ialah Pegawai Kewangan Persekutuan Sarawak, Mohd Saiful Sungkih Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak, Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai dan Pengarah LHDN Sarawak, Abang Ehsan Abang Abu Bakar," menurutnya dalam satu kenyataan.

Sehingga kini sebanyak 7,770 bakul makanan diagihkan di seluruh negara dan usaha tersebut akan diteruskan sebagai komitmen LHDN meringankan bebanan segenap lapisan rakyat.

Program CSR Hasil Prihatin dilancarkan oleh menteri kewangan pada Julai lalu adalah tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial LHDN dalam membantu rakyat yang memerlukan bantuan khususnya golongan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

"Program ini juga merupakan usaha berterusan LHDN dalam memberikan sokongan kepada golongan rentan agar mereka tidak rasa terpinggir," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain