suria

Rempuh lima kenderaan, pemandu lori direman 4 hari

Kejadian yang berlaku pada petang Isnin apabila sebuah lori hilang kawalan dan merempuh lima kenderaan lain.

PEMANDU lori yang merempuh lima kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat di Jalan Ipoh pada Isnin, kini telah direman.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, perintah reman selama empat hari diperoleh bermula Selasa (7 September).

"Lelaki berusia 25 tahun itu direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.40 petang Isnin itu, seorang pemandu kereta mengalami kecederaan ringan walaupun kenderaannya remuk teruk akibat rempuhan lori berkenaan.

Siasatan mendapati lori tersebut dipandu dari arah Jalan Duta menuju ke Sentul apabila pemandunya hilang kawalan dan merempuh lima buah kereta lain.

Pemandu lori berkenaan ditahan dan ujian awal mendapati dia tidak berada di bawah pengaruh alkohol.

Pemandu itu seterusnya dibawa ke Ibu pejabat Polis Dang Wangi untuk ujian saringan air kencing yang mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain