suria

Selepas menang pingat perak Olimpik, Azizulhasni kini bergelar pensyarah UPSI

Azizulhasni yang merangkul pingat perak pada Olimpik Tokyo 2020 kini bergelar pensyarah. foto AP

SELEPAS kejayaan merangkul pingat perak pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Azizulhasni Awang kini bergelar pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Surat tawaran jawatan Pensyarah Universiti Gred DS45/51/53 itu diserahkan sendiri oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff kepada jaguh berbasikal trek negara, dalam satu majlis ringkas di Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, Proton City di Tanjung Malam, pada Isnin.

Dalam majlis itu, Azizulhasni turut menerima dokumen berbentuk surat tawaran biasiswa melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah.

Md Amin berkata, tawaran itu merupakan penghargaan pihak UPSI atas pencapaian cemerlang atlet Olimpik yang melakar kejayaan dalam sukan berbasikal trek di peringkat antarabangsa itu.

Azizulhasni Awang 3

Md Amin (tengah) menyerahkan surat tawaran kepada Azizulhasni dalam satu majlis ringkas di Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, Proton City.

Menurutnya, Azizulhasni dipelawa melanjutkan pengajian pascasiswazah dengan tajaan Biasiswa Bitara Pasca Siswazah peringkat Sarjana selama dua tahun bernilai RM42,225 atau Doktor Falsafah selama tiga tahun bernilai RM103,700.

"Penawaran insentif kecemerlangan itu ditawarkan secara terbuka bermula 1 September 2021 hingga 31 Disember 2024.

"Tawaran itu membolehkan Azizulhasni memberi fokus dan tumpuan beliau meraih pingat emas pertama negara di Olimpik Paris pada 2024," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Selepas majlis tersebut, Azizulhasni dibawa melawat Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, UPSI Sport City. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain