suria

Kerajaan beri kelonggaran SOP bagi industri kreatif, aktiviti panggung wayang turut dibenarkan

Kerajaan bersetuju melonggarkan SOP Fasa 1 bagi industri kreatif, berkuatkuasa 9 September ini.

KERAJAAN melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) bersetuju melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 1 bagi industri kreatif, berkuatkuasa 9 September ini.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi satu kenyataan pada Selasa petang.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu diputuskan berdasarkan perbincangan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada Khamis lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penggiat seni rayu nak kerja, malu dengar artis dan kru tiada duit nak makan - “Kami tak mahu terus memekik minta bantuan”

Menurutnya, kelonggaran tersebut diharapkan dapat memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja.

"Kelonggaran ini juga bakal memberi kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif," ujarnya.

Jelasnya, persetujuan untuk memberi kelonggaran berkenaan adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.

Kelonggaran ini juga diberikan berasaskan faktor terdapat negeri-negeri telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau telah mencapai tahap imuniti kelompok.

Sehubungan itu, semua penggiat industri kreatif yang telah lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan kembali bergiat di negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 PPN, bagi aktiviti-aktiviti seperti berikut.

1. Pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung

2. Penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio

3. Penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio kepada individu yang telah lengkap vaksin

4. Indoor busking kepada individu yang telah lengkap vaksin

5. Persembahan di lounge hotel kepada individu yang telah lengkap vaksin

6. Aktiviti panggung wayang kepada individu yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam

7. Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra-daftar) dengan penonton yang telah lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang premis

8. Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara temu janji) dengan pengunjung yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung 30 peratus di ruang premis.

Ismail Sabri dalam masa yang sama menggesa semua pihak yang terlibat dalam pembukaan sektor ini supaya sentiasa mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan khususnya dalam usaha negara untuk beralih ke fasa endemik menjelang akhir Oktober ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain