suria

Laungan “derhaka! derhaka!” bergema di Dewan Rakyat selepas Agong zahir rasa amat dukacita

Dewan Rakyat kecoh dengan laungan 'darurat' susulan kenyataan Istana Negara hari ini.

KEKECOHAN di Dewan Rakyat bagaikan tidak berkesudahan apabila ahli Parlimen melaungkan perkataan 'derhaka' menerusi sidang pada Khamis.

Ia susulan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara yang memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah "amat dukacita" dengan pembatalan Ordinan Darurat.

ARTIKEL BERKAITAN: Darurat: “Amat dukacita”... Agong ulang 2 kali sebelum tegur Takiyuddin dan kerajaan

Menurut laporan Malaysiakini, ahli-ahli Parlimen sedang mengajukan soalan berkaitan dasar kerajaan dalam mendepani Covid-19 sebelum ramai yang tunduk memeriksa telefon bimbit masing-masing.

Ketika itu, kenyataan tegas Istana Negara bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat tular di media sosial.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim (Port Dickson - PKR) kemudian secara rasmi memaklumkan kepada Dewan Rakyat mengenai kenyataan Istana Negara itu.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon, yang mempengerusikan sidang pada ketika itu, nampaknya tidak menyedari titah Agong itu ketika Anwar mula membaca keseluruhan kenyataan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Ketika dia membaca kenyataan itu, beberapa ahli parlimen menjerit "derhaka! derhaka!".

Beberapa ahli parlimen juga menuntut agar Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kembali ke Dewan Rakyat dan mengambil alih tempat dari Rashid.

Ahli-ahli parlimen kerajaan terdiam sepanjang perkembangan perbincangan mengenai kenyataan Agong di Dewan Rakyat ini. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak ada ketika itu.

Namun, beberapa ahli parlimen menyasarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

"Bera (kawasan parlimen Ismail), cakaplah sesuatu," terdengar jeritan seorang ahli parlimen.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai baru-baru ini, bahawa kerajaan telah membatalkan Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh baginda, sedangkan pembatalan belum lagi diperkenankan.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain