suria

Tak pakai mask... influencer dikompaun RM1,500 selepas malukan warga tua di pusat gelandangan

Carl Samsudin tidak memakai pelitup muka ketika menyampaikan ceramah di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur pada Selasa.

TIDAK lama selepas video dia meninggikan suara kepada seorang warga emas tersebar, usahawan yang juga influencer media sosial, Carl Samsudin dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka ketika menyampaikan ceramah di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kompaun terhadap pengasas dan pemilik butik Bella Ammara itu dikeluarkan pada Rabu.

"Berdasarkan kepada siasatan yang dijalankan, didapati kejadian tersebut berlaku pada 27 Julai 2021 pukul 11.30 pagi sewaktu individu tersebut sedang menyampaikan ceramah motivasi bertajuk 'Ubah Hidup' kepada 20 orang gelandangan di pusat transit tersebut.

"Pada 28 Julai 2021 pukul 5.20 petang individu dalam video tersebut telah dipanggil ke IPD Dang Wangi bagi memberi keterangan berkaitan insiden di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Jalan Pahang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas dimalukan depan orang, Yana Samsudin ‘panas hati’ tengok sikap influncer tak beradab - “Betullah, duit tak boleh beli adab!”

Mohamad Zainal berkata, kompaun tersebut dikeluarkan mengikut peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya terus mematuhi yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Terdahulu menerusi video pendek berdurasi 49 saat itu, Carl dilihat meninggikan suara terhadap seorang gelandangan warga emas ketika menyampaikan ceramah.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Masa muda dahulu, menyesal tak buat betul-betul? Masa muda dahulu menyesal tak banyak main? Korang bila tua nanti baru nak menyesal ke?"

"Pernah tak you all wish one day, tak kisah la agama you pray to God, 'God show me the way how I want to change my life'. Pernah tak?" demikian kedengaran suaranya dalam nada yang tinggi.

Video berkenaan dikatakan dimuat naik sendiri oleh usahawan tersebut di Insta Story akaun peribadi miliknya sebelum dipadam, namun sempat disimpan oleh netizen.

Susulan penularan video tersebut, Carl bukan sahaja menerima kecaman hebat netizen, malah beberapa selebriti tempatan juga terbuka menegur sikapnya yang disifatkan sangat biadab.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain