suria

Jadi Perdana Menteri Interim? Ini jawab Tun M

Dr Mahathir (gambar fail) mengulas mengenai perdana menteri interim. foto RAJA FAISAL HISHAN/The Star

PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, menjadi Perdana Menteri Interim bukan menjadi keutamaannya sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak memegang jawatan itu.

Bekas perdana menteri itu berkata, keutamaan Pejuang ketika ini adalah membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Ia bukan keutamaan kita. Jika ia berlaku, kita perlu lakukan sesuatu mengenainya atau kita akan memikirkannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin, jemaah menteri masih kekal berfungsi- Peguam Negara

ARTIKEL BERKAITAN: Dakwa kerajaan gagal... Umno serta merta tamatkan sokongan terhadap Muhyiddin

"Tetapi keutamaan kita sekarang adalah untuk menangani pandemik. Itulah menjadi kepentingan bagi kita.

"Sama ada beliau akan berundur atau out atau in, apa saja yang berlaku pada beliau, itu disebabkan konflik dalam politik yang berlaku di negara ini.

"Semua mahu jadi perdana menteri, apa yang mereka fikir adalah berapa duit mereka boleh dapat, mereka tak berminat untuk berkhidmat atau bantu rakyat," katanya pada sidang media Pejuang secara maya, petang Khamis.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau mahu menawarkan diri sebagai Perdana Menteri Interim susulan Umno menarik sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkuat kuasa serta-merta.

Pada sidang media sama, Dr Mahathir mengumumkan bahawa Pejuang kini didaftarkan sebagai parti sah.

Beliau berkata, pendaftaran parti itu diluluskan kerajaan pada Khamis.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, Pejuang mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 di samping mengawal penularan jangkitan itu di negara ini.

"Kita tidak terbabit dengan politik. Waktu ini bukanlah masa sesuai untuk politik.

"Kita hanya mahu menumpukan kepada usaha untuk membantu rakyat. Kita berharap kerajaan membenarkan penubuhan majlis ini," katanya.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada lewat malam Rabu berkata, sokongan Umno terhadap Muhyiddin ditamatkan serta merta.

Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan tujuh kegagalan kerajaan yang digariskan sebagai syarat utama sokongan Umno terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain