suria

Pengambilan khas libatkan 18,702 guru gred DG41, penempatan bermula Oktober secara berperingkat

Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Jidin.

PENGAMBILAN khas secara one-off melibatkan 18, 702 guru bagi gred DG41 akan dilakukan bagi mengatasi isu kekurangan guru di negara ini, Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Jidin.

Ujarnya, selain usaha mencapai perancangan di bawah Pelan Pemulihan Negara, langkah itu bertujuan menampung kekurangan guru di Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

Ia antara lainnya akan memberi tumpuan mengisi kekosongan guru bagi mata pelajaran tertentu yang menyebabkan wujudnya jurang tenaga pengajar hingga menjadi cabaran utama sistem pendidikan negara masa kini.

Ujarnya, Kementerian Pendidikan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk memastikan perancangan lebih teratur dengan pendekatan baharu oleh kementerian bersama SPP dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Iklan pengambilan akan dikeluarkan oleh SPP pada 7 Julai depan dan penempatan pula bermula Oktober secara berperingkat," katanya dalam sidang akhbar secara maya pada Ahad.

Kekurangan guru di negeri-negeri terbabit dikenalpasti melibatkan sekolah rendah dan sekolah menengah khususnya dalam mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Pendidikan Agama Islam.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Bagi sekolah rendah, terdapat lima mata pelajaran mengalami kekurangan guru iaitu Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

"Bagi sekolah menengah pula, kekurangan guru bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi," katanya sambil menambah, melalui pendekatan pengambilan baharu, ia akan memberi peluang kepada graduan yang berminat dan berkelayakan seperti yang ditetapkan.

Menurutnya, ramai yang tertanya-tanya mengenai kelayakan dalam bidang pendidikan tetapi tidak dipanggil untuk mengajar.

Jelas Mohd Radzi, situasi tersebut adalah kerana ketidakpadanan mata pelajaran dan bekalan (graduan pendidikan) yang ada amat terhad.

"Bagaimanapun bagi pengambilan ini kita akan utamakan graduan pendidikan tapi dalam masa sama pendekatan baharu digunakan supaya dapat mengatasi isu ketidakpadanan guru bagi mata pelajaran tertentu," katanya. - SINAR HARIAN

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain