suria

Nak keluar ketika total lockdown? Ini 14 perkara penting perlu anda tahu sebelum keluar rumah, KPN beri peringatan lebih banyak SJR dibuat

Angota polis dan tentera mengadakan sekatan jalan raya. -foto AZHAR MAHFOF/The Star

LEBIH banyak sekatan jalan raya (SJR) akan dilakukan di seluruh negara bermula tengah malam ini berikutan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan 800 SJR sepanjang tempoh dua minggu itu berbanding 600 SJR sebelum ini.

Beliau menjelaskan tujuan SJR itu adalah memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dan memastikan orang ramai tidak keluar rumah tanpa keperluan mendesak.

ARTIKEL BERKAITAN: 2 minggu 'total lockdown' mulai 1 Jun

"Kita wujudkan SJR untuk menyekat pergerakan daerah dan pergerakan negeri. SJR bergerak pula untuk mengawal pergerakan lebih radius 10 kilometer.

"Ada laluan-laluan yang akan ditutup terus. Oleh itu, pihak polis akan memeriksa setiap kenderaan dengan lebih teliti termasuk dokumen-dokumen yang dikemukakan.

"Kita tak nafikan akan berlaku kesesakan di SJR dan lokasi-lokasi tertentu, ini tidak dapat dielakkan. Justeru, orang ramai jika tak ada keperluan mendesak, tangguhkan pergerakan tersebut.

"Beri peluang kepada mereka dalam perkhidmatan perlu untuk melaksanakan tugas mereka. Anda perlu mengatur masa pergerakan masing-masing," katanya pada sidang media khas, Isnin petang.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Dalam pada itu, Acryl Sani turut memberi nasihat dan peringatan sebelum orang ramai membuat keputusan untuk keluar rumah dan ketika melalui SJR sepanjang tempoh 'total lockdown':

1. Hanya dua orang dibenarkan menaiki sebuah kenderaan persendirian termasuk pemandu.

2. Tiga orang dibenarkan menaiki sebuah kenderaan termasuk pesakit bagi tujuan perubatan.

3, Tiga orang dibenarkan menaiki sebuah kenderaan e-hailing termasuk pemandu.

4. Pergerakan hanya dalalam radius 10 kilometer atau berdekatan dari lokasi kediaman bagi tujuan membeli barang keperluan dan perubatan serta penjagaan kesihatan.

5. Kes kecemasan dan kematian perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak polis.

6. Urusan suntikan vaksin tidak perlu mendapat kebenaran polis, tetapi perlu menunjukkan bukti janji temu menerusi aplikasi MySejahtera.

7. Semua sektor ekonomi yang dibenar operasi, perlu mendapat surat kebenaran pergerakan baharu daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

8. Bagi sektor awam, petugas yang perlu bekerja di pejabat perlu mempunyai surat arahan daripada ketua jabatan.

9. Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan atau tujuan kebajikan perlu melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

10. Bagi pembuktian alamat kediaman, individu boleh menunjukkan bukti menerusi kad pengenalan.

11. Individu juga boleh mengemukakan bil-bil utiliti seperti bil elektrik sebagai bukti sokongan.

12. Pasangan jarak jauh (PJJ) tidak dibenarkan untuk merentas negeri/daerah.

13. Rancang dan atur masa pergerakan masing-masing.

14. Beri kerjasama penuh kepada petugas seperti anggota PDRM ketika sekatan jalan raya bagi mengelak kejadian atau isu berbangkit.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain