suria

2 minggu ‘total lockdown’ mulai 1 Jun

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan total lockdown selama dua minggu bermula 1 Jun. Gambar hiasan

DIKEMASKINI

KERAJAAN memutuskan untuk menguatkuasakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun 'total lockdown' Fasa Pertama di seluruh negara.

Menerusi satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat, pelaksanaan tersebut berkuatkuasa selama dua minggu iaitu bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.

Sepanjang tempoh tersebut, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

ARTIKEL BERKAITAN: Mencanak ke 8,290 kes! Jangkitan harian tertinggi sejak Covid-19 melanda negara

Menurut kenyataan tersebut, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

"Sekiranya lockdown Fasa Pertama ini berjaya mengurangkan kes-kes harian Covid-19, kerajaan akan melaksanakan lockdown Fasa Kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.

"Lockdown Fasa Kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir," katanya.

Susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat," menurutnya.

Selepas tamat Fasa Kedua, langkah seterusnya adalah menguatkuasakan Fasa Ketiga, iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berkuat kuasa pada masa ini.

Pada Fasa Ketiga, aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.

"Bagaimanapun, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19," jelas kenyataan tersebut.

Tambahnya, kerajaan akan memastikan sistem kesihatan awam tidak akan runtuh dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberikan kepada KKM untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara.

Di samping itu, jumlah pemberian vaksin turut akan ditingkatkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti kelompok di negara ini.

"Semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Yang terbaik ialah duduk di rumah atau stay at home untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain