suria

KPN tegaskan polis tak akan tunduk kepada Covid-19, tak letih buat rondaan dan SJR - “Isu kita penat, kecewa kena buang jauh-jauh”

Acryl Sani memberi penjelasan berhubung 'total lockdown' pada sidang media khas.

KETUA Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited menjalankan tugas dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 sejak pandemik itu melanda negara lebih setahun lalu.

Sehubungan itu beliau berkata, tidak timbul soal penat atau letih dalam kalangan anggotanya.

"Dalam usaha ini, kita tidak boleh letih, kerana virus Covid-19 ini... saya diberitahu mereka pun tidak letih.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak keluar ketika total lockdown? Ini 14 perkara penting perlu anda tahu sebelum keluar rumah, KPN beri peringatan lebih banyak SJR dibuat

"Jadi, kita akan terus, tekun bersungguh-sungguh kerana sebenarnya apa yang kita lakukan bukan untuk masyarakat sahaja, tapi untuk diri sendiri, ahli keluarga kita, sahabat handai.

"Jadi isu kita penat, kita letih, kita kecewa... kita kena buang jauh-jauh. Kalau kita mengaku kita letih, penat dan seumpamanya bererti kita sudah tewas. Kita tidak akan tewas.

"Selagi kita masih boleh berdiri, boleh bergerak, kita akan teruskan usaha ini bersama-sama," katanya pada sidang media khas, petang Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada PDRM penat berulang kali melakukan rondaan dan sekatan jalan raya (SJR) serta pemantauan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac tahun lalu, termasuk nasihat kepada masyarakat.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pihak perlu bersama-sama untuk membantu mengukuhkan sistem kesihatan di negara ini dalam memerangi wabak Covid-19.

"Ini supaya jentera dan sistem kesihatan kita masih mampu untuk terus beroperasi memberi perkhidmatan dan rawatan.

"Kalau kita merasa letih, bererti kita sudah tewas. Kita tak boleh tewas kerana virus ini tidak ada istilah tewas, letih, penat dalam kamus dia... dia akan terus menyerang dan menyerang," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain