suria

Aidilfitri tanpa pasangan, bapa tunggal 6 anak akui hanya buat persiapan ringkas... makin faham erti kehilangan - “Kadang cemburu dengan kawan masih ada isteri”

Gambar kenangan Aidilfitri keluarga Nazri pada tahun lalu, namun kali ini Syawal diraikan tanpa isterinya di sisi.

SELAMA 13 tahun hidup bersama, ketiadaan insan bernama isteri sememangnya memberi kesan yang sangat mendalam lebih-lebih ketika umat Islam meraikan 1 Syawal.

Bagi seorang suami, Syawal pada tahun ini amat berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya selepas isteri, Natasha Mik'yal 'pergi' secara mengejut pada 6 Februari lalu kerana serangan asma.

Bukan satu perkara yang mudah buat Nazri Ahmad, 39, untuk memikul tugas yang biasa dilakukan oleh arwah isterinya lebih-lebih lagi menyediakan persiapan untuk menyambut lebaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Soulmate beri pelukan terakhir di balkoni! Suami sukar percaya hilang isteri sekelip mata, tinggalkan dirinya bersama 6 anak - “Inhaler terjatuh, badan terus lembik”

"Persiapan pada tahun ini sangat simple. Boleh dikatakan hampir tiada persiapan... cuma saya sudah menyediakan baju raya buat anak-anak," kata bapa tunggal enam anak yang berusia dalam lingkungan tiga hingga 12 tahun ini kepada mStar.

Menurut Nazri, dirinya tidak dapat melupakan kenangan apabila dia dan arwah isteri akan melakukan segala persiapan bersama setiap kali tibanya Ramadan dan Syawal.



Allahyarhamah Natasha meninggal dunia secara mengejut kerana serangan asma pada Februari lalu.

"Selama 13 tahun berkahwin, bukan sedikit kenangan saya bersama arwah isteri sewaktu puasa dan raya. Kami dua-dua anak yatim piatu, memang semua perkara akan dilakukan bersama... bergantung antara satu sama lain.

"Kalau berbuka puasa, kami memang sering makan di rumah, jarang berbuka di luar. Bahang raya pasti terasa sebab arwah akan kalut buat macam-macam... bab baju raya kami sekeluarga, biskut dan kuih muih, langsir, kusyen dan lain-lain.



Membesarkan enam anak yang masih kecil bukanlah tugas yang mudah bagi seorang bapa tunggal.

"Kalau beli baju raya, kalau arwah ada, memang tak cukup sehari... sebab dia sangat teliti. Tapi sekarang saya sediakan seadanya saja. Anak-anak pun tak cerewet... mereka pun seolah-olah faham.

"Saya bersyukur, ramai sangat yang beri biskut raya serta makanan seperti jajan. Tak tahu pengirimnya, memang akan ada sahaja walaupun dah tiga bulan arwah pergi. Alhamdulillah. Bab biskut atau makanan memang tak jadi masalah," ujarnya yang bekerja sendiri dalam bidang perkhidmatan.

Kalau beli baju raya, kalau arwah ada, memang tak cukup sehari... sebab dia sangat teliti. Tapi sekarang saya sediakan seadanya saja.

NAZRI AHMAD

BAPA TUNGGAL

Bercerita mengenai juadah raya, Nazri berkata dia terlalu merindui rendang ayam air tangan arwah isterinya yang tidak dapat lagi dinikmati pada Aidilfitri kali ini.

"Rendang ayam memang wajib arwah masak ketika raya. Bagi saya itulah rendang ayam paling sedap saya pernah makan. Baru-baru ini saya ada beli, memang takkan dapat menyamai air tangan arwah," ujarnya lagi.

Meraikan Aidilfitri bersama enam anaknya di Shah Alam, Selangor, Nazri berkata mereka merancang menziarahi pusara arwah di Tanah Perkuburan Pusara Aman di Kampung Melayu Subang, bergantung kepada SOP (prosedur operasi standard) Covid-19 yang dikeluarkan oleh kerajaan.



Anak-anak Nazri tidak putus-putus mengirimkan doa buat arwah ibu mereka.

"Mungkin bila keadaan mengizinkan, saya akan jemput rakan-rakan terdekat berkunjung ke rumah. Anak-anak dan rakan-rakan saya memang rapat. Mereka gembira sangat bila tahu rakan-rakan saya nak beraya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Saya bersyukur kerana mempunyai rakan-rakan, adik beradik malah jiran-jiran yang sangat baik hati. Memang mereka ini sentiasa ambil berat terhadap kami sekeluarga. Mereka umpama sistem sokongan... kalau tiada mereka, 'koyak' juga.

"Cuma saya kadang-kadang rasa cemburu dengan kawan-kawan yang masih ada isteri. Saya dah rasa erti kehilangan... jadi bagi saya, selagi ada waktu, hargailah satu sama lain. Kalau tak appreciate isteri, rugi sangat," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain