suria

Dakwaan langgar SOP Aidilfitri... polis akan panggil Azmin Ali, ahli keluarga

Azmin (kiri) akan dipanggil untuk membantu siasatan. Foto kanan menunjukkan gambar Azmin bersama keluarga yang tular di media sosial.

DATUK Seri Mohamed Azmin Ali dan ahli keluarganya akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, satu laporan polis dibuat kira-kira pukul 3 petang Jumaat (14 Mei) berhubung posting Ummi Hafilda Ali yang tular di media sosial.

Ummi Hafilda mendakwa ahli keluarga Azmin yang merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, telah merentas daerah dan menghadiri perjumpaan untuk sambutan Hari Raya.

ARTIKEL BERKAITAN: PM umum PKP seluruh negara, ziarah Aidilfitri tak dibenarkan

"Kejadian itu didakwa berlaku kira-kira pukul 8 pagi pada hari pertama Hari Raya di kediaman rasmi Azmin di Presint 10 di Putrajaya.

"Bagaimanapun, maklumat awal mendapati sambutan dan jamuan raya itu hanya dalam kalangan ahli keluarga Azmin yang mendiami kediaman tersebut.

"Berdasarkan keterangan petugas yang menjaga pos kawalan kediaman rasmi tersebut juga mengesahkan pada tarikh 13 Mei 2021 (Khamis), tiada pergerakan keluar masuk tetamu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Mohd Fadzil berkata, Azmin dan ahli keluarganya, termasuk Ummi Hafilda akan dipanggil untuk membantu siasatan.

"Pengguna media sosial dinasihatkan untuk tidak menyiarkan komen atau pernyataan yang merosakkan kredibiliti dan imej seseorang atau organisasi," tambah beliau. - The Star

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain