suria

Cikgu tolak, campak murid tadika: Polis kenal pasti ‘guru terlampau’, siasatan sedang dijalankan

Seorang guru tadika bertindak mencampak seorang murid.

KECOH video yang tular menunjukkan seorang guru wanita di sebuah tadika sedang memarahi dan bertindak kasar terhadap muridnya.

Guru tersebut pada mulanya dilihat menolak budak lelaki berkenaan sebelum mengangkat dan mencampak kanak-kanak malang itu.

Lebih mengejutkan, tindakan selamba guru berkenaan turut disaksikan oleh murid-murid lain yang kelihatan terpinga-pinga dengan apa yang berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes dera: Dua guru tadika ditahan

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-Kanak Dakwa Guru Tuisyen Rotan, Simbah Air Panas

Menerusi video 10 saat yang kini tular di media sosial itu turut memaparkan seorang wanita lain, dipercayai guru di tadika tersebut.

Tindakan guru itu membangkitkan kemarahan netizen yang menyifatkan ia sebagai perbuatan yang sangat melampau dan biadab.

"Kalau rasa tak tahan dengan kerenah budak, baik berhenti kerja. Ramai lagi yang boleh ganti," tulis seorang pengguna Facebook yang memuat naik video berkenaan.



Kanak-kanak malang itu bukan sahaja dimarahi, bahkan ditolak dan dicampak.

Susulan video yang tular, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, polis kini menyiasat seorang guru yang didakwa membuat penderaan terhadap kanak-kanak.

"Satu laporan polis telah dibuat oleh ibu bapa kanak-kanak itu.

"Perkara ini sedang disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah. Maklumat lebih lanjut akan dikongsi kemudian," kata Baharudin ketika dihubungi The Star.

Beliau menambah, polis kini telah mengenal pasti guru wanita yang terlibat.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan lokasi sebenar dan bila kejadian tersebut dirakamkan serta punca guru tersebut bertindak begitu.

"Geramnya. Ish sakit hati tengok video ni. Ingat apa tu, budak kan? Ada mak ayah kot," komen seorang netizen.

"Kasihan kat budak tu. Dengan anak sendiri tak tahulah macam mana. Jenis tak tahan sabar," tulis netizen yang lain.

"Kasihan budak-budak tu... budak-budak tadika umur macam tu memang tak dengar cakap kadang-kadang tapi kalau cikgu pandai pujuk, insyaAllah tentu ikut kata," kata seorang lagi.

Dipercayai pihak sekolah telah mengambil tindakan dengan memecat guru tersebut.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain