suria

Aksi kejar-mengejar di LDP, polis terpaksa lepaskan tembakan pada tayar Satria kuning

Suspek memandu ke arah yang bertentangan di sepanjang LDP.

PIHAK polis terpaksa menembak sebuah kereta dalam kejadian kejar-mengejar di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Khamis petang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek memandu ke arah yang bertentangan di sepanjang LDP.

"Anggota kami terpaksa melepaskan tembakan pada tayar kenderaan ketika suspek cuba merempuh salah seorang anggota polis," katanya dalam satu kenyataan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.25 petang pada hari Khamis.

"Aksi kejar-mengejar itu melibatkan Proton Satria berwarna kuning di Jalan Anggerik di Kampung Sungai Kayu Ara," tambahnya.

Tambah beliau, kenderaan itu kemudiannya berhenti berhampiran gereja Katolik di SS25 sebelum suspek melarikan diri dari tempat kejadian dengan terjun ke dalam longkang.

"Kami memeriksa kenderaan dan menjumpai pelbagai barang yang dipercayai digunakan dalam aktiviti memecah kenderaan di daerah Damansara.

"Kami sekarang sedang mengesan lokasi suspek yang dipercayai berada di daerah Petaling Jaya," katanya.

Kes itu disiasat kerana cubaan membunuh dan menghalang penjawat awam melepaskan tugas mereka.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut boleh menghubungi Inspektor Adam Firdauz Ahmad di talian 012-756 5464. - The Star.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain