suria

KPN dedah VVIP bergelar Tan Sri, Datuk jadi dalang lebih 5 sindiket dadah

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan ada individu kenamaan bergelar Tan Sri dan Datuk yang disyaki terlibat dalam kegiatan kartel dadah telah mendalangi lebih daripada lima kumpulan sindiket di negara ini.

Menurut Abdul Hamid, perkara itu telah lama berada dalam pemerhatian polis.

Bagaimanapun ujarnya, pihak polis berdepan kesukaran untuk mendapatkan bukti yang boleh mengaitkan penglibatan mereka.

"Mereka sebenarnya tak boleh lari pun kerana data dan maklumat itu kita sudah ada, saya difahamkan terdapat lebih daripada lima sindiket didalangi oleh VVIP ini. InsyaAllah kita pasti akan dapat ambil tindakan.

"Ini bukan amaran kosong kerana tangkapan ke atas mereka-mereka yang menjadi dalang utama sindiket ini perlu dibuat.

"Jika tidak sia-sia sahaja operasi demi operasi yang kita lakukan dengan kejayaan menumpaskan sindiket di seluruh negara kerana yang ditangkap dan didakwa adalah orang-orang di lapisan bawah, tetapi mereka yang di atas masih terlepas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Penutup Kursus Asas Konstabel Orang Asli Siri 1 2020 di lapang sasar utama Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh pada Isnin.

Jelas Abdul Hamid, pendedahan tersebut bukan bertujuan merosakkan rancangan operasi sedia ada sebaliknya untuk berkongsi kepada masyarakat mengenai keseriusan ancaman dadah di negara ini yang cukup berat.

Ujar beliau, polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menjalankan operasi setiap minggu dengan kejayaan rampasan dadah bernilai jutaan ringgit.

Bagaimanapun jelasnya, keanggotaan sedia ada ketika ini adalah kurang dan perlu ditambah bagi memastikan jenayah dadah dapat ditangani dengan berkesan.

"Sekiranya saya perlu menyediakan tujuh dulang hati nyamuk sebagai syarat untuk kelulusan itu (pertambahan anggota polis), saya sanggup sediakan kerana saya tidak mahu dituduh sebagai Ketua Polis Negara yang gagal menangani masalah dadah," katanya. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

KPN, VVIP dalang sindiket dadah

Artikel Lain