suria

Terlanggar objek, kru berdepan detik cemas kapal persiaran hampir karam

Kapal persiaran yang dinaiki oleh empat kru hampir karam selepas terlanggar objek pada kedudukan 0.3 batu nautika selatan Pulau Lalang, Langkawi pada Sabtu. Foto: Sinar Harian

GARA-GARA terlanggar objek, sebuah kapal persiaran hampir karam pada kedudukan 0.3 batu nautika selatan Pulau Lalang, Langkawi pada Sabtu.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah, kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.30 malam itu dilaporkan kepada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi yang segera mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, kapal maritim KM Tenggol pergi ke lokasi bagi menyelamat mangsa kapal persiaran terbabit.

"Maklumat mengenai kejadian berkenaan turut disalurkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM)," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Zawawi, empat kru kapal persiaran tersebut yang terdiri daripada kapten kapal iaitu Nor Azman Saparin, 42, bersama kru kapal yang lain berusia lingkungan 29 hingga 54 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kapal terbabit juga ditunda ke Boustead Shipyard untuk tindakan lanjut," katanya.

Mohd Zawawi berkata, beliau turut mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

"Selain itu, maklumkan destinasi anda kepada ahli keluarga dan membawa bekalan makanan secukupnya serta mengelakkan aktiviti di luar kawasan liputan telekomunikasi," katanya. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain