suria

Polis tahan semula pengasas Sugarbook

Pengasas aplikasi Sugarbook ditahan semula bagi membantu siasatan kes rogol dan pelacuran. Gambar hiasan

POLIS menahan semula pengasas aplikasi Sugarbook yang dibebaskan tanpa reman pada Khamis, bagi membantu siasatan kes rogol dan pelacuran.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, penahanan itu susulan laporan daripada seorang pelajar institut pengajian tinggi berkenaan kejadian yang berlaku di Subang Jaya pada 19 Februari 2019.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis terima laporan IPTA, buka kertas siasatan isu ‘sugar baby’

"Suspek berusia 34 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (merogol) dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan (kesalahan terbabit dalam kegiatan pelacuran)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan pihak polis untuk menahan reman pengasas aplikasi Sugarbook bagi membantu siasatan dakwaan laman berkenaan digunakan sebagai platform mencari perempuan simpanan.

Peguam Foong Cheng Leong yang mewakili lelaki tersebut berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noorasyikin Sahat menolak permohonan pihak berkuasa itu selepas anak guamnya memberi aku janji akan bekerjasama penuh kepada pihak polis.

Fadzil yang menjelaskan perkara itu berkata, pihak Pengarah Pendakwaan Selangor telah membuat permohonan semakan ke atas keputusan tersebut.

"Permohonan akan didengar di hadapan seorang Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah di Shah Alam pukul 9 pagi Jumaat," katanya.

Baru-baru ini isu 'sugar baby' hangat diperkatakan di mana media melaporkan Malaysia berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia yang mempunyai bilangan 'sugar daddy' paling ramai melalui aplikasi Sugarbook.

Sugarbook mendakwa hasil tinjauan mendapati pelajar universiti awam dan swasta di negara ini menggunakan aplikasinya untuk mencari 'sugar daddy' bertujuan mendapatkan wang dengan mudah terutamanya ketika pandemik Covid-19. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain