suria

Sedikit kelonggaran! Dah boleh dine-in lebih dari 2 orang satu meja mulai esok, tapi bersyarat - Ismail Sabri

Kerajaan membenarkan orang ramai untuk makan di restoran dengan beberapa syarat. Foto: ZHAFARAN NASIB/The Star

DIKEMASKINI

KERAJAAN bersetuju membenarkan orang ramai untuk makan di dalam restoran tanpa terhad kepada dua orang satu meja, sebagaimana yang diumumkan sebelum ini.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai prosedur operasi standard (SOP) 'dine-in', Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan bahawa orang ramai boleh makan di dalam restoran namun perlu mematuhi jarak sosial 1 meter.

Menurutnya, SOP baharu tersebut terpakai di semua kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Mesyuarat bersetuju mulai esok semua kawasan dibenarkan untuk dine-in dengan kebenaran untuk makan di meja makan berdasarkan keluasan meja dan asalkan ada penjarakkan 1 meter. Tidak lagi dua orang satu meja," katanya menerusi sidang media pada Khamis petang.

Terdahulu pada 9 Februari lalu, beliau memaklumkan pelanggan boleh makan di dalam restoran, terhad dua orang satu meja dan mengikut SOP termasuklah mengekalkan jarak fizikal satu meter.

Tambah Ismail, pemilik restoran perlu memastikan ada petugas yang menjaga SOP dan menghadkan bilangan pelanggan pada satu-satu masa.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain