suria

Salam takziah... bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas meninggal dunia

Tun Mohamed Salleh Abas meninggal dunia pada usia 91 tahun.

BEKAS Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas meninggal dunia pada usia 91 tahun, awal pagi Sabtu.

Allahyarham sebelum ini disahkan positif Covid-19.

Berita tersebut disampaikan melalui mesej aplikasi WhatsApp oleh anak-anak beliau pada Sabtu, yang memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.20 pagi.

Pada Khamis, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif as-Salihin Trustee Berhad, Abdul Aziz Peru Mohamed dalam kenyataannya mengesahkan Mohamed Salleh positif Covid-19.

Beliau menambah, Mohamed Salleh dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

"Pihak hospital mengambil langkah berjaga-jaga atas faktor umur Tun (Mohamed Salleh)," kata Abdul Aziz dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus mengesahkan Mohamed Salleh sedang dirawat di HSNZ.

Namun, tiada butiran lebih lanjut yang diberikan.

Mohamed Salleh yang berasal dari Kampung Raja, Besut merupakan Ketua Hakim Negara pada 1984 hingga 1988.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih apabila memenangi Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain