suria

Agong titah ahli Parlimen sokong Belanjawan 2021 yang akan dibentang November ini... henti perbalahan politik, utamakan kebajikan rakyat

Al-Sultan Abdullah memberi peringatan kepada ahli-ahli Parlimen supaya menghentikan segala perbalahan politik. -foto AZHAR MAHFOF

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati ahli-ahli Parlimen untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan pada 6 November ini demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ia berikutan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani penularan wabak.

"Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong tolak cadangan darurat, ulangi teguran terhadap ahli politik selepas mesyuarat Raja-Raja Melayu

"Seri Paduka mengingatkan Ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak Covid-19 ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, Rabu.

Dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih satu jam dari pukul 8 pagi itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November.

"Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan Seri Paduka agar Belanjawan 2021ini memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19.

"Seri Paduka turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan Muhyiddin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini, ” kata Ahmad Fadil.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini buat masa ini, di mana keputusan keputusan itu dibuat hasil perbincangan dalam mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Seri Paduka berkenan memperhalusi permohonan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu.

Permohonan berkenaan ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Pada Ahad lalu, baginda turut memberi peringatan kepada ahli politik untuk menghentikan segala perbalahan sehingga mengganggu tugas pentadbiran negara.

Malah, tiada keperluan untuk mana-mana Ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab sehingga menggugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain