Pengiran Abdul Mateen dedah punca kemangkatan kekandanya - “Dia banyak mengajar saya...”

Almarhum Pengiran Abdul Azim selamat dimakamkan selepas solat Asar, Sabtu lalu.

PEMERGIAN Pengiran Muda Haji Abdul Azim Bolkiah benar-benar memberi kesan kepada seluruh keluarga kerabat diraja Brunei itu terutama adiknya, Pengiran Muda Abdul Mateen.

Terbaharu, Pengiran Abdul Mateen berkongsi punca kemangkatan kekandanya itu menerusi satu posting di Instagram malam Selasa.

Menurut figura yang begitu dikenali di media sosial itu, abangnya disahkan menghidap vaskulitis sistemik atau penyakit autoimun yang kronik pada awal tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Merafak sembah takziah... Pengiran Muda ‘Abdul ‘Azim anakanda Sultan Brunei mangkat

"Penyakit autoimun adalah keadaan sistem imun yang tidak normal di mana antibodi menyerang tisunya sendiri.

"Pada saat yang sama, dia menghadapi gangguan bipolar yang membuatkan pertarungan semakin sukar.



Pengiran Abdul Mateen amat rapat dengan abangnya sejak kecil lagi.

"Akhirnya abang saya mengalami banyak kegagalan organ disebabkan jangkitan berterusan akibat penyakit autoimun yang menjadi punca pemergiannya pada pagi 24 Oktober lalu," katanya.

Jelas Pengiran Abdul Mateen, dia berkongsi perkara tersebut kerana yakin itulah yang dikehendaki kekandanya.

"Kami ingin berkongsi maklumat mengenai penyakit ini kerana saya tahu inilah yang mahu dilakukan oleh kekanda saya.

"Meskipun saya dan seluruh keluarga bersedih dan amat menyayanginya, kami tahu Allah lebih menyayanginya. Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita kembali," katanya.



Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menyiram air di atas pusara anakandanya.

Dalam pada itu, Pengiran Abdul Mateen turut mengimbau kembali keperibadian kekandanya itu yang amat dirindui mereka sekeluarga.

"Hari-hari dilalui tidak pernah membosankan ketika abang Azim selalu ada. Dia suka membuat prank, bergurau dan tidak serius sangat dengan kehidupan.

"Tawanya amat membahagiakan tidak kira sesuatu perkara itu melucukan atau tidak. Semua orang pasti akan ketawa. Dia menjalani kehidupan yang membahagiakan," katanya.

Tambah Putera Abdul Mateen lagi, kekandanya itu merupakan insan terpenting dalam hidupnya.

"Saya meluangkan setiap masa sepanjang zaman kanak-kanak saya bersama dengan abang saya.



Pengiran Mateen berkongsi punca kemangkatan abangnya di Instagram.

"Dia banyak mengajar saya dan menjadikan siapa diri saya pada hari ini. Dan untuk itu saya sentiasa bersyukur," katanya.

Pada pagi Sabtu lalu, rakyat Brunei dikejutkan dengan berita kemangkatan putera kedua Sultan Hassanal Bolkiah dan Hajah Maria itu pada usia 38 tahun.

Punca pemergian putera kesayangan ramai itu bagaimanapun tidak didedahkan kepada umum.

Putera itu yang dilahirkan di Bandar Seri Begawan pada 29 Julai 1982 amat dikenali sebagai seorang yang amat prihatin terhadap isu kemanusiaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain