suria

Karikatur Nabi Muhammad: Malaysia kutuk tindakan retorik, fitnah agama Islam

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

MENTERI Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Malaysia mengutuk keras tindakan retorik dan provokatif yang memfitnah agama Islam serta amat memandang serius permusuhan terbuka terhadap umat Islam.

Beliau memetik beberapa tindakan ini sebagaimana yang dapat disaksikan dunia baru-baru ini menerusi ucapan populis serta penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontroversi Charlie Hebdo, Pernah Hina Islam

"Malaysia menjunjung hak kebebasan bersuara serta hak asasi manusia selagi mana ia digunakan secara bertanggungjawab dan penuh hormat, sekali gus tidak menafikan serta melanggar hak pihak lain.

"Dalam konteks ini, mencemarkan serta mengecam Nabi Muhammad yang dianggap paling mulia dalam Islam dan mengaitkan Islam dengan keganasan telah melangkaui batas hak tersebut.

"Tindakan tersebut bersifat provokatif dan tidak menghormati agama Islam serta lebih daripada dua bilion umat Islam di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Hishammuddin berkata demikian susulan tindak balas dan kemarahan dunia Islam terhadap kenyataan terbuka Presiden Perancis Emmanuel Macron mengenai hak untuk menyiarkan karikatur Nabi Muhammad yang dianggap sebagai menghina Islam.

Kenyataan Macron minggu lalu dibuat sebagai respons kepada pembunuhan seorang guru, Samuel Paty, di luar sekolahnya yang terletak di pinggir bandar Paris awal bulan ini, selepas beliau menunjukkan karikatur Nabi Muhammad dalam kelas semasa mengajar topik mengenai kebebasan bersuara.

Guru itu menjadi sasaran kempen kebencian dalam talian berhubung pemilihan bahan pengajaran iaitu gambar sama yang mencetuskan serangan berdarah oleh lelaki bersenjata di pejabat majalah satira Charlie Hebdo pada 2015.

Hishammuddin berkata sebagai negara Islam yang demokratik dan sederhana dengan masyarakat berbilang etnik serta agama, Malaysia akan terus memperjuangkan dan mengekalkan hubungan damai serta harmoni bukan sahaja sesama rakyat tetapi juga dalam konteks masyarakat global yang majmuk.

"Malaysia akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa demi meningkatkan amalan saling menghormati antara setiap agama serta mencegah ekstremisme agama di semua peringkat," katanya. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain