suria

Agong tolak cadangan darurat, ulangi teguran terhadap ahli politik selepas mesyuarat Raja-Raja Melayu

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi peringatan kepada ahli politik menghentikan segala perbalahan sehingga menganggu tugas pentadbiran negara. Foto: AZHAR MAHFOF

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia.

Titah baginda, keputusan itu dicapai selepas berbincang dengan Raja-Raja Melayu pada Ahad petang dan merasakan kerajaan sekarang berjaya menangani wabak Covid-19 dengan berkesan.

ARTIKEL BERKAITAN: Raja-Raja mula tiba di Istana Negara menjelang mesyuarat petang ini

"Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak.

"Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia," ujar Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamuddin kenyataan Istana Negara pada Ahad petang.

Pada Ahad, baginda berkenan memperhalusi permohonan yang telah dipersembahkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu dengan mengadakan pertemuan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Dalam kenyataan sama, baginda turut memberi peringatan kepada ahli politik menghentikan segala perbalahan sehingga mengganggu tugas pentadbiran negara.

Malah, tiada keperluan untuk mana-mana Ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab sehingga menggugat kestabilan kerajaan sedia ada.

"Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

"Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada.

"Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

"Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka," ujar kenyataan itu lagi.

Malah, baginda turut mahu seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik agar bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam menangani Covid-19.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain