Kes YouTuber Sugu, perbicaraan ditetapkan 11 Januari

M. Sugu (kiri) bersama peguamnya di Mahkamah Sesyen Ipoh. -foto Ronnie Chin/The Star

PERKEMBANGAN kes suami kepada YouTuber masakan popular, S. Pavithra terus dibicarakan.

Mahkamah Sesyen di Ipoh pada Khamis menetapkan 11 dan 12 Januari tahun hadapan untuk perbicaraan kes memiliki senjata berbahaya yang dihadapi bekas pekerja ladang, M. Sugu.

Hakim, Norashima Khalid menetapkan tarikh berkenaan selepas pihak pendakwaan memaklumkan permohonan representasi suami kepada S. Pavithra itu ditolak.

ARTIKEL BERKAITAN: Pavithra akhirnya buka mulut... keluarga, wang punca masalah - "Sugu dah minum, tapi bukan pemabuk"

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya terjawab punca video dipadam.... Sugu Pavithra enggan ada kaitan dengan YouTube - "Biar kami satu keluarga biasa sahaja"

Permohonan representasi berkenaan adalah ke atas pertuduhan terhadap Sugu di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter.

Sugu, 29, didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, antara 4 hingga 6 petang, 21 Julai lepas.

Pada prosiding pada Khamis, Sugu yang dilihat hadir seorang diri diwakili peguam Syahrul Nizam Mohd Rabi manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi.

Syahrul Nizam ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu pihak pendakwaan mencadangkan pihaknya membuat permohonan representasi yang kedua untuk dirujuk terus ke pihak pendakwaan pusat di Putrajaya.

"Permohonan representasi dibuat untuk pihak pendakwaan meneliti semula kes ini dan ada beberapa perkara penting yang kami sudah masukkan dalam permohonan tersebut dan pihak kami percaya sekiranya diteliti penuh dan disiasat semula, kes ini mungkin tidak mempunyai merit prima facie yang kuat.

"Pihak kami juga perlu mendapatkan arahan daripada anak guam dan meneliti semula dokumen-dokumen ini untuk penyediaan satu dokumen yang penting untuk rujukan dan siasatan pihak pendakwaan sebelum perbicaraan dimulakan," katanya.

Mahkamah turut menetapkan 7 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pihak pembelaan memaklumkan status terkini berkenaan dokumen dan permohonan representasi kedua.

Pada 17 September lepas, Mahkamah Sesyen Ipoh melepas tanpa membebaskan Sugu, daripada satu lagi tuduhan iaitu mencederakan Pavithra, 28, pada waktu kejadian berikutan isterinya itu mengangkat sumpah bagi menarik balik pertuduhan dengan rela tanpa paksaan dan ugutan semasa prosiding itu. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain