suria

Kes bertambah tapi calon STAM dibenarkan kembali ke sekolah tahfiz bermula 24 Jun – “Pengawasan berterusan walau selepas PKPP”

Sekolah tahfiz dan madrasah boleh dibuka pada 24 Jun ini.

SEKOLAH tahfiz atau madrasah dibenarkan untuk dibuka semula pada 24 Jun bagi murid-murid yang menduduki peperiksaan awam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media pada petang Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: 24 Jun sekolah dibuka semula, hanya pelajar duduki SPM, STPM, SVM, STAM dan peperiksaan antarabangsa setara

"Dari segi pelajar tahfiz atau madrasah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengenalpasti lokaliti dan kumpulan sasar iaitu pelajar, kakitangan dan guru.

"Mereka boleh buka (sekolah) untuk pembelajaran dan sebagainya tetapi tugas KKM adalah menjalankan saringan dari semasa ke semasa," ujarnya.

Beliau terdahulu ditanya pemberita sama ada sekolah tahfiz dan madrasah dibenarkan untuk dibuka serentak bersama sekolah lain memandangkan terdapat banyak kes positif Covid-19 yang dicatatkan di lokaliti berkenaan,

Dalam pada itu tambah Dr Noor Hisham, KKM akan tetap menjalankan pemantauan dan pengawasan untuk mengesan kes positif Covid-19 sungguhpun negara tidak lagi diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Ini adalah pemantauan dan juga pengawasan dari KKM.

"Tindakan akan berterusan walaupun kita keluar dari PKPP. Tindakan pengawasan akan sentiasa dijalankan," ujarnya lagi.

Sebelum ini Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan pembukaan semula sesi persekolahan bagi murid-murid kelas peperiksaan awam adalah pada 24 Jun 2020.

Tarikh pembukaan semula sesi persekolahan tersebut membabitkan kira-kira 500,000 pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pelajar peperiksaan antarabangsa.

Mohd Radzi berkta, keputusan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah berdasarkan pandangan dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

madrasah, tahfiz, peperiksaan, KKM

Artikel Lain