suria

Tak perlu khuatir, kes meningkat libatkan kes import, lokaliti PKPD - Dr Noor Hisham

Selepas dua angka direkodkan beberapa hari lalu, jumlah positif Covid-19 pada Sabtu sebanyak 105 kes.

TREND peningkatan kes positif Covid-19 harian adalah melibatkan kes import dan kes yang dikesan dari lokasi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Justeru Kementerian Kesihatan (KKM) meminta semua rakyat di negara ini supaya tidak bimbang mengenai peningkatan kes harian yang dilihat sejak kebelakangan ini, termasuklah hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pesakit daripada kes import dan dari lokasi PKPD telah pun diasingkan untuk disaring sejak awal-awal lagi.

“Trend kes-positif Covid-19 harian sejak kebelakangan ini menunjukkan peningkatan kes-kes import dan kes-kes yang dikesan dari lokaliti PKPD.

“Namun kita tak perlu khuatir dengan kes-kes ini... ia kerana mereka dari awal lagi telah diasingkan untuk disaring, diuji dan dirawat di hospital, ” katanya pada sidang media harian, Sabtu petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes harian kembali ke ‘tiga angka’, terbaharu 105 positif Covid-19... tiada kematian direkodkan

Dr Noor Hisham berkata, aktiviti penularan Covid 19 dalam kalangan masyarakat setempat pula dapat dikenal pasti melalui aktiviti survelan klinikal jjangkitan wabak itu yang telah lama dijalankan.

“Ini dilaksanakan dengan persampelan pesakit Influenza Like Illness (ILI) dari lokasi sentinel seluruh negara dan pesakit Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di semua hospital KKM, ” katanya.

Jelas Dr Noor Hisham, sehingga 1 Mei sebanyak 7,880 saringan Covid-19 dalam aktiviti survelan klinikal telah dijalankan dengan hanya 12 kes dikesan daripada ILI (0.81 peratus) dan 54 kes dikesan daripada SARI (0.84 peratus).

“Selain itu, saringan Covid-19 juga dilaksanakan ke atas semua pesakit sebelum pembedahan kecemasan dan separa kecemasan di hospital KKM sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19 di kalangan petugas kesihatan.

“Sehingga 1 Mei, terdapat hanya lima kes yang dikesan positif Covid-19 daripada 5,435 jumlah pesakit yang disaring (iaitu hanya 0.09%), ” katanya.

Justeru Dr Noor Hisham berkata aktiviti pendekatan tertumpu yang dijalankan setakat ini terbukti berkesan dalam mengesan dan membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“Namun, ianya memerlukan tindakan selari rakyat untuk patuh kepada semua arahan dan nasihat kesihatan Kerajaan, ” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, kadar kebolehjangkitan Covid-19 dalam komuniti masih dalam keadaan terkawal setakat ini.

“Kalau kita lihat sebelum pelaksanaan PKP 1,2, 3... sebelum PKP 1, R-Naught atau kebolehjangkitan kita 3.55.

“Pada 14 April lalu, R-Naught dah kurang kepada satu... sekarang 0.7. Apabila kita melihat tindakan kita sekarang iaitu PKPB jadi kita jangkakan R-Naught masih kurang daripada satu.

“Itu modeling telah kita laksanakan. Selagi R-Naught kurang daripada satu kita boleh kawal jangkitan dalam masayarakat, ” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain