suria

Lelaki ditemui mati di KK dipercayai warga asing antara 5 korban terkini Covid-19

Lima lagi korban Covid-19 dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari Selasa.

LIMA lagi kes kematian berkaitan Covid-19 direkodkan pada Selasa menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 82 kes atau 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 202 dilaporkan bebas daripada jangkitan Covid-19 dan dibenarkan pulang, sekali gus  menjadikan individu yang pulih daripada wabak itu sehingga kini ialah 2,478 atau 49.7 peratus.

Secara perbandingan, katanya, sebanyak 170 kes baharu dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 4,987 orang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit kes kematian ke-77 bukan peserta tabligh - KP Kesihatan

“Sehingga kini, 60 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 33 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian, di Putrajaya petang Selasa.

Menurut Dr Noor Hisham, kes kematian ke-78 membabitkan lelaki dewasa tanpa identiti dan dipercayai bukan warganegara yang ditemui mati di Kota Kinabalu, Sabah pada 6 April lalu.

"Keputusan ujian sampel Covid-19 yang diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 11 April. Kes ini di bawah siasatan polis," katanya.

Beliau berkata kes kematian ke-79 (kes ke-2052) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 65 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

“Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 14 April pukul 5.17 pagi,” katanya.

Bagi kes kematian ke-80 (kes ke-4818), Dr Noor Hisham berkata mangsa merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

“Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 7 April lalu dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.36 malam Ahad lalu,” katanya.

Sementara itu kes kematian ke-81 pula katanya, membabitkan wanita berumur 74 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit buah pinggang. 

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, iaitu kes ke-4088 yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

“Beliau telah dirawat di Hospital Melaka pada 9 April lalu dan disahkan meninggal dunia pada 13 April pukul 4.20 petang,” katanya.

Tambahnya lagi kes kematian ke-82 (kes ke-1649) membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. 

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19 iaitu kes ke-343 yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling dan telah dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 26 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada 14 April pukul 11.50 pagi. 

“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” katanya.

kematian, Covid-19, KKM

Artikel Lain