suria

Selain Sulawesi, rakyat Malaysia sertai himpunan tabligh di India sedang dikesan

KKM sedang mengesan rakyat Malaysia yang menghadiri perhimpunan tabligh di lndonesia dan India. Foto: AP

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang bekerjasama rapat dengan pihak polis dan kerajaan dalam usaha mengesan rakyat negara ini yang menghadiri perhimpunan tabligh di Sulawesi, Indonesia dan Nizamudin West, India.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini pihak kementerian masih berusaha mengesan jumlah sebenar rakyat negara ini yang menghadiri himpunan berkenaan dan dilaporkan sebahagiannya sudah pulang ke tanah air.

ARTIKEL BERKAITAN: Puluhan rakyat Malaysia dipercayai berada di Sulawesi hadiri Ijtima of Asia 2020

ARTIKEL BERKAITAN: Ijtima of Asia 2020 tangguh, semua rakyat Malaysia pulang dari luar negara jalani kuarantin 14 hari - Hishammuddin

"Kita sedang menyiasat, bukan sahaja dari India tetapi juga dari Sulawesi di mana kita dengar ada perhimpunan besar di sana. Semestinya berisiko besar jika mereka hadiri perhimpunan itu.

"Kita sedang cuba dapatkan maklumat tentang mereka di India. Dari kumpulan Sulawesi kita ada 87 nama yang kita dah kenal pasti dan masih kesan. Kita bekerjasama rapat dengan polis untuk kesan mereka," ujarnya dalam sidang media pasa Selasa.

Laporan media sebelum ini menyatakan rakyat Malaysia merupakan antara ribuan peserta yang menghadiri himpunan di kedua-dua negara berkenaan, dua minggu lalu.

Sebelum ini, KKM dilapor menganggarkan 80 hingga 100 rakyat Malaysia ke Sulawesi bagi menghadiri perhimpunan berkenaan.Bagaimanapun, penganjur dilapor membatalkan perhimpunan yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 22 Mac itu, berikutan kebimbangan penularan wabak Covid-19, dan ada di antara mereka sudah pulang dan diserahkan kepada KKM untuk saringan dan kuarantin.

Selain himpunan di Sulawesi, rakyat Malaysia juga dilaporkan menjadi sebahagian daripada ribuan peserta yang menghadiri himpunan Jamaah Tabligh di Nizamudin West, India pada 1 hingga 15 Mac lalu.

Selain Malaysia, himpunan itu turut dihadiri peserta dari Arab Saudi, Indonesia, Filipina, Thailand, dan Dubai.

Portal India Today pada Selasa melaporkan seramai enam individu yang menghadiri perhimpunan itu meninggal dunia kerana dijangkiti wabak berkenaan.

Sulawesi, India, tabligh, KKM, polis

Artikel Lain