suria

Dua minggu paling mustahak, Dr Noor Hisham sampaikan 4 tip berguna untuk rakyat Malaysia

Amalan pemakanan sihat antara tip yang disampaikan Dr Noor Hisham kepada rakyat negara ini.

DATUK Dr Noor Hisham Abdullah mengulangi nasihat mengenai pentingnya rakyat Malaysia untuk kekal duduk di rumah dan mengutamakan kebersihan sepanjang tempoh dua minggu ini.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata, langkah itu perlu kerana tempoh berkenaan mustahak untuk memastikan rantaian virus Covid-19 diputuskan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh gantung kad kesihatan di leher hapus kuman, virus Covid-19 - "Tiada sesiapa kebal... jangan buang duit"

"Duduk dirumah dan amalkan etika kebersihatan diri dengan kerap basuh tangan menggunakan sabun dan jarakkan diri antara satu sama lain.

"Jika ada gejala guna topeng muka dan hidung," katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, Selasa.

Selain itu, Dr Noor Hisham juga menggariskan empat amalan hidup sihat sebagai panduan kepada rakyat seluruh negara yang akan melalui fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula Rabu ini.

Berikut adalah amalan disarankan untuk diikuti sepanjang tempoh PKP:

1. Makan secara sihat dengan menyediakan menu seimbang iaitu kurangkan pengambilan gula, garam dan lemak, manakala lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan.

2 Jalani gaya hidup efektif dengan melakukan aktiviti fizikil seperti senaman ringan di rumah.

3. Bagi yang merokok gunakan tempoh duduk di rumah untuk berhenti merokok.

4. Pupuk minda positif diri sendiri dan keluarga dengan amalkan teknik relaksasi yang betul dan tenangkan minda dalam menjalani kehidupan seharian di rumah.

Mengenai perkembangan terkini setakat Selasa, Dr Noor Hisham berkata, angka kematian bertambah enam lagi menjadikan jumlahnya 43 orang.

Selain itu, katanya, terdapat 140 kes jangkitan baharu, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,766 kes.

"Sehingga kini, seramai 94 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). 

"Daripada jumlah tersebut, 60 kes memerlukan bantuan pernafasan," tambahnya.

Menurut beliau, sebanyak 58 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada Selasa. 

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 537 kes (19.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," katanya.

PKP, Covid-19, Noor Hisham, buah-buahan

Artikel Lain