suria

Kematian di rumah antara 6 korban terbaharu Covid-19, jumlah terkini 43 orang

Petugas kesihatan menjalankan saringan terhadap orang awam. Gambar hiasan/Foto Bernama

KEMATIAN di rumah merupakan antara enam lagi korban terbaharu Covid-19 setakat Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat virus itu di negara ini sebanyak 43 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian di rumah (kes ke-2,626) itu merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. 

"Pesakit mempunyai sejarah perjalanan ke negara Arab Saudi. 

ARTIKEL BERKAITAN: “Kaum keluarga tak payah sambut di airport” - Rakyat Malaysia pulang dari luar negara terus dikuarantin di tempat khas

ARTIKEL BERKAITAN: “Masih keluar rumah” - Rakyat Malaysia ‘pulang dari luar negara tapi degil’ jadi kebimbangan KKM, pertimbang tempat kuarantin khas

"Pesakit telah meninggal dunia pada 27 Mac 2020 di rumahnya dan jenazah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur," katanya pada sidang media, petang Selasa.

Pesakit yang meninggal di rumah mempunyai sejarah perjalanan ke Arab Saudi. Gambar hiasan/Foto Bernama

Mengenai perkembangan terkini setakat Selasa, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 140 kes jangkitan baharu, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,766 kes.

"Sehingga kini, seramai 94 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). 

"Daripada jumlah tersebut, 60 kes memerlukan bantuan pernafasan," tambahnya.

Menurut beliau, sebanyak 58 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada Selasa. 

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 537 kes (19.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," katanya.

BERIKUT adalah butiran kes baharu kematian Covid-19 yang lain:

2. Kes kematian ke-38 (kes ke-2,269) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 48 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

Beliau merupakan kontak kepada kes ke-2,750. Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 25 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac 2020 jam 4.04 petang.

3.  Kes kematian ke-40 (kes ke-2,627) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun yang mempunyai  latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. 

Beliau telah dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor. Beliau disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020 jam 1.03 petang. 

4. Kes kematian ke-41 (kes ke-1,275) merupakan lelaki warganegara Indonesia berumur 40 tahun. 

Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 2020 jam 1.38 pagi.

5. Kes kematian ke-42 (kes ke-2,628) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 2020 jam 7.09 pagi.

6. Kes kematian ke-43 (kes ke-2,629) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit jantung. 

Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 29 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac 2020 jam 4.30 petang.

kematian, rumah, korban, Covid-19, Arab Saudi

Artikel Lain