suria

KKM sedang bincang guna alat canggih kesan Covid-19 dalam masa 30 minit - “Syarikat berkenaan ada kontrak dengan AS”

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melakukan perbincangan dengan sebuah syarikat yang menghasilkan peralatan canggih dan berupaya mengesan virus Covid-19 dalam masa yang singkat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, syarikat tersebut yang mempunyai kilang di Pulau Pinang menghasilkan peralatan canggih yang mampu mengesan virus Covid-19 dalam masa hanya setengah jam.

ARTIKEL BERKAITAN: Kematian di rumah antara 6 korban terbaharu Covid-19, jumlah terkini 43 orang

ARTIKEL BERKAITAN: Syarikat AS dapat kelulusan buat ujian Covid-19, keputusan positif boleh diketahui dalam masa 5 minit

"Kita juga dimaklumkan sebuah syarikat di Pulau Pinang iaitu yang menghasilkan peralatan canggih untuk mengesan Covid-19 dalam masa setengah jam.

"Tapi difahamkan syarikat berkenaan ada kontrak dengan Amerika Syarikat... jadi kita tengah berbincang sama ada kita juga boleh diberi peluang menggunakan peralatan canggih untuk dapat kesan Covid-19 dalam masa setengah jam," katanya dalam sidang media pada Selasa.

Dalam sidang media yang sama, Dr Noor Hisham memaklumkan KKM sedang meneliti hasil daripada penggunaan kit ujian pengesanan pantas (rapid test kit) antigen dari Korea Selatan yang sudah diterima baru-baru ini.

"Kita sedang lihat ada dua kaedah baru iaitu kaedah rapid test kit dari Korea, kita lihat dari segi antigen.

"Kalau ketepatan untuk mengesan adalah bagus, kita akan membuat tempahan dalam jumlah 200 ribu lagi," ujarnya.

Sebelum ini Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, ujian pengesanan antigen menerusi kit yang diterima dari China kurang tepat, selain Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenal pasti ubat atau jenama diberikan tidak sesuai untuk digunakan. 


KKM, kilang, canggih, Pulau Pinang, Covid-19

Artikel Lain