suria

Syarikat AS dapat kelulusan buat ujian Covid-19, keputusan positif boleh diketahui dalam masa 5 minit

Abbott berkata pihaknya bercadang untuk memulakan pengedaran minggu depan dan akan meningkatkan pembuatan alat ujian itu kepada 50,000 setiap hari. Foto: REUTERS/Brendan McDermid.

ABBOTT Laboratories berkata syarikatnya telah mendapat kelulusan pemasaran daripada kerajaan persekutuan untuk satu ujian diagnostik koronavirus yang dapat menunjukkan keputusan kepada pesakit hanya dalam masa beberapa minit.

Syarikat peranti perubatan yang berpangkalan di Lake Bluff, Illinois, Amerika Syarikat itu berkata ujian itu boleh digunakan di pejabat-pejabat doktor dan klinik penjagaan serta hospital.

Amerika kini mempunyai bilangan kes koronavirus paling tinggi berbanding negara lain, dan hospital-hospital di sana sedang bergelut untuk memenuhi permintaan ujian virus berbahaya itu daripada ribuan orang.

Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan (FDA) memberikan kelulusan itu di bawah Kebenaran Penggunaan Kecemasan.

Abbott, dalam satu kenyataannya berkata pihaknya bercadang untuk memulakan pengedaran minggu depan dan akan meningkatkan pembuatan alat ujian itu kepada 50,000 setiap hari.

“Ini merupakan satu lonjakan penting menuju ke hadapan,” kata Naib Presiden Penyelidikan dan Pembangunan di Abbott, John Frels dalam temu bual dengan Reuters.

“Anda boleh mendapat keputusan positif dalam masa lima minit dan keputusan negatif dalam masa 13 minit.

“Anda boleh pergi ke sebuah klinik dan mendapat keputusan semasa anda berada di sana,” katanya.

Amerika kini mempunyai bilangan kes koronavirus paling tinggi berbanding negara lain.

Alat berbentuk mudah alih ini adalah yang kedua mendapat kelulusan FDA yang boleh digunakan secara terus di pejabat doktor dan komuniti kesihatan lain dan memberi keputusan segera kepada pesakit.

Minggu lalu, FDA meluluskan satu ujian yang dibuat oleh Cepheid.

Abbott, minggu lalu mendapat kelulusan untuk menghasilkan ujian diagnostik automatik dalam jumlah yang tinggi yang boleh digunakan di makmal dan berkata akan segera mengagihkan 150,000 ujian di seluruh negara.

Tambahnya, Abbott merancang menghasilkan 5 juta alat ujian setiap bulan.

FDA segera memberikan kelulusan ujian untuk koronavirus berdasarkan situasi kecemasan dan telah meluluskan ujian lain yang dibuat oleh beberapa syarikat termasuk Roche Holding AG dan Thermo Fisher Scientific Inc.

AS dilaporkan mencatatkan lebih daripada 100,000 kes.

New Orleans bergegas membina sebuah hospital sementara di pusat konvensyennya hari ini ketika wabak itu menular di seluruh negara.

Walaupun New York kekal sebagai bandar paling teruk dilanda wabak itu, rakyat Amerika bersedia untuk situasi buruk di tempat lain termasuk di New Orleans, Chicago dan Detroit. - Reuters.

Covid-19, Amerika Syarikat, ubat, vaksin

Artikel Lain