suria

Gabungan baharu bentuk kerajaan Johor, Kedah diterajui PH-Bersatu

Kenderaan yang dinaiki Pengerusi BN Johor Datuk Ir Hasni Mohammad memasuki perkarangan Bangunan Sultan Ibrahim untuk mengadakan pertemuan dengan Adun bagi membincangkan isu politik semasa di Johor, pada Rabu. -fotoBERNAMA

ISTANA Johor mengumumkan bahawa kerajaan baharu akan mentadbir negeri itu.

Setiausaha Sulit Sultan Johor Datuk Jaba Mohd Noah dalam kenyataannya berkata kerajaan baharu itu mendapat sokongan majoriti mudah 28 kerusi daripada Adun negeri berkenaan.

Pada Rabu, Menteri Besar Dr Saharuddin Jamal daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pengerusi Umno Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad, menghadap sultan ekoran penarikan Bersatu dari Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu di KEDAH persepakatan antara Bersatu dan PH dilihat penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah Datuk Johari Abdul menyifatkan, gandingan itu juga merupakan langkah tepat yang diputuskan demi kepentingan serta memenuhi mandat rakyat, pada pilihan raya umum yang lepas.

“Kami mengadakan perbincangan yang panjang untuk melihat negeri, rakyat dan pentadbiran negeri... keutamaan kami tentulah rakyat dahulu, untuk memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas,” katanya dalam sidang media, Khamis.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi pula berkata dengan keputusan yang dibuat hari ini, pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa.

“Saya bagi pihak parti Amanah, sebagai pengerusi yang mempunyai empat Adun, menyokong kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai menteri besar untuk terus memimpin kerajaan Kedah,” katanya.

Sementara itu Pengerusi DAP Kedah Tan Kok Yew berkata, pihaknya juga menyokong penuh Mukhriz kekal sebagai menteri besar seperti yang sudah dipilih rakyat.

Kedah mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan PAS mempunyai 15 kerusi, Bersatu (6), PKR (7), Amanah (4), Umno (2) dan DAP (2).

Artikel Berikut

Artikel Lain